TENANGKAN HATIMU DARI URUSAN
TADBIR KERANA APA YANG DIATUR OLEH SELAIN-MU TENTANG URUSAN DIRIMU, TIDAK PERLU
ENGKAU CAMPUR TANGAN.
Kita bertauhid melalui dua cara, pertama bertauhid dengan
akal dan keduanya bertauhid dengan hati. Bidang akal ialah ilmu dan liputan
ilmu sangat luas, bermula dari pokok kepada dahan-dahan dan seterusnya kepada
ranting-ranting. Setiap ranting ada hujungnya, iaitu penyeleaiannya. Ilmu
bersepakat pada perkara pokok, bertolak ansur pada cabangnya dan berselisih
pada rantingnya atau penyelesaiannya. Jawapan kepada sesuatu masalah selalunya
berubah-ubah menurut pendapat baharu yang ditemui. Apa yang dianggap benar pada
mulanya dipersalahkan pada akhirnya. Oleh sebab sifat ilmu yang demikian orang
awam yang berlarutan membahas tentang sesuatu perkara boleh mengalami
kekeliruan dan kekacauan fikiran. Salah satu perkara yang mudah mengganggu
fikiran ialah soal takdir atau Qadak dan Qadar. Jika persoalan ini
diperbahaskan hingga kepada yang halus-halus seseorang akan menemui kebuntuan
kerana ilmu tidak mampu mengadakan jawapan yang konkrit. Qadak dan Qadar
diimani dengan hati. Tugas ilmu ialah membuktikan kebenaran apa yang diimani. Jika ilmu bertindak menggoyangkan keimanan
maka ilmu itu harus disekat dan hati dibawa kepada tunduk dengan iman. Kalam
Hikmat keempat di atas membimbing ke arah itu agar iman tidak dicampur dengan
keraguan.
Selama nafsu dan
akal menjadi hijab, beriman kepada perkara ghaib dan menyerah diri secara
menyeluruh tidak akan dicapai. Qadak dan Qadar termasuk dalam perkara ghaib.
Perkara ghaib disaksikan dengan mata hati atau basirah. Mata hati tidak dapat
memandang jika hati dibungkus oleh hijab nafsu. Nafsu adalah kegelapan, bukan
kegelapan yang zahir tetapi kegelapan dalam keghaiban. Kegelapan nafsu itu
menghijab sedangkan mata hati memerlukan cahaya ghaib untuk melihat perkara
ghaib. Cahaya ghaib yang menerangi alam ghaib adalah cahaya roh kerana roh
adalah urusan Allah s.w.t. Cahaya atau nur hanya bersinar apabila sesuatu itu
ada perkaitan dengan Allah s.w.t.
Allah adalah cahaya bagi semua langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Dialah Yang Maha Tinggi darjat kebesaran-Nya, yang
mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan dan kekuasaan-Nya); Ia memberikan
wahyu darihal perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara
hamba-hamba-Nya (yang telah dipilih menjadi Rasul-Nya), supaya Ia memberi
amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan, -
( Ayat 15 : Surah al-Mu’min )
( Ayat 15 : Surah al-Mu’min )
Dan demikianlah Kami wahyukan
kepadamu (wahai Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati)
dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan
kepadamu); apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman
itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri
petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan
sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran
itu ke jalan yang lurus, - Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai yang ada
di langit dan yang ada di bumi. Kepada Allah jualah kembali segala urusan. (
Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )
Apabila cahaya roh berjaya menghalau kegelapan nafsu, mata
hati akan menyaksikan yang ghaib. Penyaksian
mata hati membawa hati beriman kepada perkara ghaib dengan sebenar-benarnya.
Allah s.w.t
telah menghamparkan jalan yang lurus kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Dia
berfirman:
Pada hari ini, Aku telah
sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan
Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. ( Ayat 3 : Surah
al-Maa’idah )
Umat Islam adalah umat yang paling bertuah kerana Allah
s.w.t telah menyempurnakan nikmat-Nya ke atas mereka dengan mengurniakan Islam.
Allah s.w.t menjamin juga bahawa Dia reda menerima Islam sebagai agama
mereka. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup bagi mereka yang menuntut keredaan
Allah s.w.t untuk tidak menoleh ke kiri atau ke kanan, sebaliknya terus berjalan
mengikut landasan yang telah dibina oleh Islam. Islam adalah perlembagaan yang
lengkap mencakupi semua aspek kehidupan baik yang zahir mahupun yang batin.
Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat, apa yang mesti tidak dibuat,
bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu dan bagaimana jika tidak mahu
melakukan apa-apa. Segala peraturan
dan kod etika sudah dijelaskan dari perkara yang paling kecil hingga kepada
yang paling besar. Sudah dijelaskan cara beribadat, cara berhubungan sesama
manusia, cara membahagikan harta pusaka, cara mencari dan membelanjakan harta,
cara makan, cara minum, cara berjalan, cara mandi, cara memasuki jamban, cara
hukum qisas cara melakukan hubungan kelamin, cara menyempurnakan mayat dan
semua aspek kehidupan diterangkan dengan jelas.
Umat Islam tidak
perlu bertengkar tentang penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Segala
penyelesaian telah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujuk kepada Islam itu
sendiri nescaya segala pertanyaan akan terjawab. Begitulah besarnya nikmat yang
dikurniakan kepada umat Islam. Kita perlulah menjiwai Islam untuk merasai
nikmat yang dikurniakan itu. Kewajipan kita ialah melakukan apa yang
telah Allah s.w.t aturkan sementara hak mengatur atau mentadbir adalah hak
Allah s.w.t yang mutlak. Jika terdapat peraturan Allah s.w.t yang tidak
dipersetujui oleh nafsu kita, jangan pula melentur peraturan tersebut atau
membuat peraturan baharu, sebaliknya nafsu hendaklah ditekan supaya tunduk
kepada peraturan Allah s.w.t. Jika pendapat akal sesuai dengan Islam maka
yakinilah akan kebenaran pendapat tersebut, dan jika penemuan akal bercanggah
dengan Islam maka akuilah bahawa akal telah tersilap di dalam perkiraannya.
Jangan memaksa Islam supaya tunduk kepada akal semasa yang akan berubah pada
masa yang lain, tetapi tundukkan akal kepada apa yang Tuhan kata yang
kebenarannya tidak akan berubah sampai bila-bila.
Orang yang
mengamalkan tuntutan Islam disertai dengan beriman kepada Qadak dan
Qadar, jiwanya akan sentiasa tenang dan damai. Putaran roda kehidupan tidak
membolak-balikkan hatinya kerana dia melihat apa yang berlaku adalah menurut
apa yang mesti berlaku. Dia pula mengamalkan kod yang terbaik dan dijamin oleh
Allah s.w.t. Hatinya tunduk kepada hakikat bahawa Allah s.w.t yang mentadbir
sementara sekalian hamba berkewajipan taat kepada-Nya, tidak perlu masuk campur
dalam urusan-Nya.
Mungkin timbul
pertanyaan apakah orang Islam tidak boleh menggunakan akal fikiran, tidak boleh
mentadbir kehidupannya dan tidak boleh berusaha membaiki kehidupannya? Apakah orang
Islam mesti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa tadbir?
Allah s.w.t
menceritakan tentang tadbir orang yang beriman:
Maka Yusuf pun mulailah
memeriksa tempat-tempat barang mereka, sebelum memeriksa tempat barang saudara
kandungnya (Bunyamin), kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari
tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan
untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara
kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah.
(Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami
kehendaki; dan tiap-tiap yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya
yang lebih mengetahui. (Ayat 76 : Surah Yusuf )
Dan kepunyaan-Nya jualah kapal-kapal yang
berlayar di lautan laksana gunung-ganang. (Ayat 24 : Surah ar-Rahmaan )
Nabi Yusuf a.s,
dengan kepandaiannya, mengadakan muslihat untuk membawa saudaranya, Bunyamin,
tinggal dengannya. Kepandaian dan muslihat yang pada zahirnya diatur oleh Nabi
Yusuf a.s tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan Dia yang mengatur muslihat
tersebut dengan kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Kapal yang pada zahirnya dibina
oleh manusia tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan kapal itu adalah
kepunyaan-Nya. Ayat-ayat di atas memberi pengajaran mengenai tadbir yang
dilakukan oleh manusia.
Rasulullah s.a.w
sendiri menganjurkan agar pengikut-pengikut baginda s.a.w mentadbir kehidupan
mereka. Tadbir yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang tidak
memutuskan hubungan dengan Allah s.w.t, tidak berganjak dari tawakal dan
penyerahan kepada Tuhan yang mengatur pentadbiran dan perlaksanaan. Janganlah
seseorang menyangka apabila dia menggunakan otaknya untuk berfikir maka otak
itu berfungsi dengan sendiri tanpa tadbir Ilahi. Dari mana datangnya ilham yang
diperolehi oleh otak itu jika tidak dari Tuhan? Allah s.w.t yang membuat
otak, membuatnya berfungsi dan Dia juga yang mendatangkan buah fikiran kepada
otak itu. Tadbir yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang sesuai
dengan al-Quran dan as-Sunah. Islam hendaklah dijadikan penapis untuk mengasingkan
pendapat dan tindakan yang benar dari yang salah. Islam menegaskan bahawa
sekiranya tidak kerana daya dan upaya dari Allah s.w.t, pasti tidak ada apa
yang dapat dilakukan oleh sesiapa pun. Oleh yang demikian seseorang mestilah
menggunakan daya dan upaya yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya menurut
keredaan Allah s.w.t. Seseorang hamba Allah s.w.t tidak sepatutnya melepaskan
diri dari penyerahan kepada Allah Yang Maha Mengatur. Apabila apa yang
diaturkannya berjaya menjadi kenyataan maka dia akui bahawa kejayaan itu adalah
kerana persesuaian aturannya dengan aturan Allah s.w.t. Jika apa yang
diaturkannya tidak menjadi, diakuinya bahawa aturannya wajib tunduk kepada
aturan Allah s.w.t dan tidak menjadi itu juga termasuk di dalam tadbir Allah
s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang berhak untuk menentukan. Allah s.w.t Berdiri
Dengan Sendiri, tidak ada sesiapa yang mampu campur tangan dalam urusan-Nya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar