Sabtu, 26 Juli 2014

Amalan Sunnah Pada hari raya 'iedil fitri

Amalan Sunnah Di Hari Raya ‘Iedhul Fitri

Hari Raya Aidil Fitri adalah merupakan hari yang penuh dengan kegembiraan bagi seluruh umat Islam. Ini kerana pada hari itu segala ampunan dan rahmat daripada Allah diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Hari yang mulia ini adalah hari kemenangan umat Islam yang telah menumpaskan godaan nafsu serakah sehingga mereka berjaya menamatkan perjuangan melakukan ibadah puasa, solat terawih, tadarus al Quran dan ibadah-ibadah yang lain.

Menjelang Aidil Fitri umat Islam bagaikan bayi yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan fitrah dan bersih dari segala dosa. Aidil Fitri juga adalah hari merayakan kebesaran Tuhan dan hari mentauhidkan keesaanNya. Maka di mana-mana kita melihat, rata-rata umat Islam menyambut dan merayakan Aidil Fitri dengan gema alunan takbir membesarkan Allah dan tahlil mentauhidkanNya. Kebesaran Allah dapat dilihat melalui rahmat dan maghfirahNya pada bulan Ramadhan dan anugerah Lailatul Qadar yang cukup istimewa dan sebagainya.

Ketika memasuki Hari Raya Aidil Fitri, kita hendaklah melakukan dan meninggalkan beberapa perkara yang telah diterangkan oleh Baginda Rasulullah SAW seperti:

1. Diharamkan berpuasa pada Hari Raya Aidil Fitri dan Aidul Adha, seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW, “Sesungguhnya dilarang berpuasa di dua Hari Raya, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha”. Diriwayatkan oleh al Bukhari dan al Muslim.

2. Membersihkan diri dan mandi sebelum pergi ke masjid. Sa’id bin Jubair RA berkata, “Sunnah-sunnah Aid itu ada tiga perkara, berjalan kaki ketika menuju ke masjid, mandi sebelum solat dan makan setelah waktu subuh”. Imam al Nawawi mengatakan, “Seluruh ulama’ bersepakat sunnahnya mandi sebelum solat Aid.

3. Hendaknya makan beberapa biji kurma yang dianjurkan berjumlah ganjil atau makanan yang lain sebelum pergi ke masjid untuk mendirikan solat Hari Raya Aidil Fitri. Manakala di Hari Raya Aidul Adha disunnahkan untuk tidak makan sebelum pergi ke masjid. Diriwayatkan oleh al Bukhari.

4. Bertakbir pada waktu terbenamnya matahari iaitu masuk waktu solat Maghrib hingga keluarnya imam menuju ke mimbar pada keesokan harinya. Banyak riwayat daripada Nabi Muhammad SAW dan perkataan para sahabat yang memerintahkan untuk menghiasi malam Hari Raya dengan bertakbir kepada Allah. Muhammad bin Syihab al Zuhri berkata, “Kami sentiasa bertakbir sejak melangkahkan kaki menuju ke masjid sehingga keluarnya imam”. Sedangkan pada malam Hari Raya Aidil Fitri merupakan waktu yang paling baik untuk berdoa. Imam Syafie RA pernah mengatakan, “Ada lima malam yang doa seorang hamba itu cepat dikabulkan oleh Allah iaitu malam Hari Raya Aidil Fitri, malam Hari Aidul Adha, malam Jumaat, malam awal Rejab dan malam Nisfu Sya’aban”.

5. Mengucapkan tahniah kepada sesama saudara Muslim dan mereka yang telah melakukan ibadah selama sebulan di bulan Ramadhan. Pengucapan selamat ini telah mula dilakukan di zaman sahabat.

6. Memakai pakaian yang bagus atau baru jika berkemampuan serta memakai minyak wangi sebagai penghormatan pada hari yang mulia ini dan sebagai tanda syukur dengan memperlihatkan nikmat yang telah diberikan oleh Allah.

7. Disunnahkan untuk solat Aidil Fitri secara berjamaah bagi lelaki-lelaki dan wanita-wanita, orang musafir dan anak-anak. Sedangkan bagi wanita yang haid boleh duduk di luar masjid dan tidak mengerjakan solat atau masuk ke dalam masjid.

Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Jahiliyyah dahulu juga mempunyai Hari Raya mereka dengan cara yang tersendiri. Mereka menyambutnya dengan berbagai kemaksiatan iaitu dengan meminum minuman keras, menyembah patung berhala dan sebagainya. Setelah kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, Hari Raya itu diganti dengan Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidul Adha. Rasulullah SAW bersabda, “Dahulu kalian mempunyai dua hari yang kalian melakukannya untuk bersenang-senang dan sungguh Allah telah menggantikan keduanya yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidul Adha”.

Solat Aidil Fitri buat kali pertama disyariatkan pada tahun pertama Hijrah, namun Rasulullah SAW baru dapat melakukannya pada tahun kedua Hijrah. Hukum mendirikan solat Aidil Fitri ini menurut mazhab Syafie dan mazhab Maliki sunnat muakkad yakni sunnah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Ibnu Abbas meriwayatkan sebuah hadith yang berbunyi, “Apabila datang Hari Raya Aidil Fitri, para malaikat berbondong-bondong turun ke atas permukaan bumi dan berdiri sebuah tempat sambil berkata yang dapat didengari oleh seluruh makhluk ciptaan Allah kecuali manusia dan jin: “Wahai umat Nabi Muhammad SAW! Keluarlah kalian menuju kepada Tuhan Yang Maha Pemurah dan mengampuni dari segala dosa, apabila mereka bergerak dan berada di tempat solatnya, Allah berfirman kepada para malaikatNya, “Wahai para malaikatKu! Apakah balasan bagi seorang hamba yang telah menyelesaikan pekerjaanNya? Para malaikat menjawab, “Wahai Tuhan dan Pemimpin kami, selayaknya baginya untuk diberikan ganjaran. Allah berfirman, “Saksikanlah oleh kalian! Sesungguhnya Aku member pahala bagi mereka yang berpuasa dan solat. Redha serta ampunanKu untuk mereka, berlalulah, kalian telah Aku ampuni”.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar