NASAB :
Habib Ahmad Masyhur bin Thaha bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin Thaha bin ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad bin ‘Abdullah bin Thaha bin ‘Umar (adik bungsu kepada al-Imam ‘Abdullah al-Haddad) bin ‘Alwi bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah bin Muhammad al-Haddad bin ‘Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar bin Ahmad bin Muhammad bin ‘Abdullah bin al-Faqih Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Alwi (Ammu al-Faqih) bin Muhammad Shahib Mirbath bin ‘Ali bin ‘Alwi Khali’ Qasam bin Muhammad bin ‘Alwi bin Ubaidillah bin Sayyidina al-Muhajir ilaLlah Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad an-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far ash-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin al-Hussin al-Sibth bin ‘Ali suami Fathimah al-Zahra’ binti Muhammad Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
LAHIR:
Dilahirkan di kota Qaidun yang terletak di Wadi Dau’an, Hadramaut sekitar tahun 1325H yang bersamaan dengan 1907M, oleh bondanya, Hababah Shofiyyah binti Thohir bin Umar al-Haddad.
Ayahanda beliau, Habib Thoha bin ‘Ali bin ‘Abdullah al-Haddad adalah seorang waliyUllah yang khumul dan mastur, yang menghabiskan sebahagian besar usianya di Indonesia. Menjelang penghujung usia, barulah beliau kembali ke Hadramaut dan wafat disana. Bonda beliau, Hababah Shofiyyah adalah seorang ‘arifahbiLlah dan huffadz al-Quran.
MENUNTUT ILMU :
Al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mendapat pendidikan awal daripada bondanya, Hababah Shofiyyah. Suatu ketika, tatkala al-Imam al-Habib Hasan al-Atthas (wafat 1334H) berkunjung ke ribath Qaydun, Hababah Shofiyyah telah menyuruh anaknya, al-Habib Ahmad Masyhur yang ketika itu berusia sekitar 7 tahun, untuk melaksanakan sholat dibelakang al-Habib Ahmad bin Hasan bin Abdullah al-Atthas untuk mendapatkan keberkatan, kemudian al-Habib Ahmad bin Hasan al-‘Atthas membacakan al-Fatihah baginya.
Seterusnya al-Habib Ahmad Masyhur mendapat pendidikan di Ribath Qaydun dari daripada dua ulama besar dari keluarga al-Haddad, pengasas kepada rubath tersebut iaitu Habib ‘Abdullah bin Thohir al-Haddad (wafat 1367H) dan saudaranya Habib ‘Alwi bin Thohir al-Haddad (wafat 1382).
Di bawah dua ulama ini, Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mendalami lagi pengetahuan agamanya dalam bidang fiqh, tauhid, tasawwuf, tafsir dan hadits. Dalam usia muda, beliau telah hafal al-Quran dan menguasai berbagai lapangan ilmu agama sehingga diberi kepercayaan untuk mengajar pula di rubath tersebut. Habib Ahmad yang tidak pernah jemu menuntut ilmu turut menangguk ilmu di Rubath Tarim dengan para ulama yang mengajar di sana, diantaranya al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin Umar asy-Syathiri (wafat 1361H), al-‘Allamah al-Habib ‘Abd al-Baari bin Syeikh al-Aidarus dan ramai lagi.
Tatkala usia Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad menginjak 20, beliau telah dibawa oleh gurunya Habib ‘Alwi bin Thohir al-Haddad ke Indonesia. Di sana selain berdakwah, beliau bertemu dan meneruskan pengajian dengan ramai lagi ulama dari kalangan Saadah ‘Alawiyyin di sana, antaranya al-Habib Muhammad bin Ahmad al-Muhdhar (wafat 1344H), al-‘Arifbillah al-Habib ‘Abdullah bin Muhsin al-Atthas (wafat 1351H), Al-‘Allamah al-Habib ‘Alwi bin Muhammad bin Thohir al-Haddad (wafat 1373H), al-‘Allamah al-Mu’ammar al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Habsyi (wafat 1388H) dan ramai lagi. Kemudian al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad ke Mukalla untuk belajar kepada al-‘Arifbillah al-Habib Ahmad bin Muhsin al-Haddar. Beliau adalah antara guru yang banyak memberi kesan dari sudut rohani kepada al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad.
PRIBADI :
Beliau adalah seorang yang sentiasa menjaga wirid harian dan sholat-sholat sunnah. Tidak pernah meninggalkan sholat malam walaupun beliau dalam musafir. Pendekata, kehidupan yang beliau mencontohi kehidupan nendanya, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Setiap gerak geri, tuturkata dan senyuman beliau menyegarkan ingatan para pencintanya akan kehadiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Tiada yang melihat wajah beliau melainkan akan mengingati Allah. “Haibah” padanya menyebabkan orang yang melihat beliau berasa hormat, namun kelembutan dan hormatnya pada semua orang, melembutkan hati mereka yang hadir ke maslis beliau. Mereka akan terlupa segala masalah dan dapat menikmati pengalaman diterima oleh seseorang yang cukup hampir dengan Allah dan RasulNya. Beliau menghabiskan usianya dengan beribadah dan berdakwah mengajak manusia kepada agama Allah. Beliau seorang yang sedikit berbicara dan banyak berfikir.
Tawanya hanyalah berupa senyuman. Beliau berbicara mengikut tingkat pemahaman seseorang. Beliau berusaha keras untuk duduk bersama mereka yang dhaif, sakit dan miskin sengsara.
DAKWAH :
Pertama kali al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mengembara ke Afrika Timur untuk berdakwah ialah pada tahun 1347H. Beliau memasuki walayah Zanzibar dan disambut dengan penuh penghormatan. Ketika itu di Zanzibar terdapat seorang ulama bernama al-Habib ‘Umar bin Ahmad bin Sumaith (foto sebelah). Pada bulan Ramadhan, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad tinggal di Masjid Jami’ dan mengajar tafsir al-Quran, bermula dengan surah al-Faatihah. Selama 25 hari beliau membicarakan tentang firman Allah: إياك نعبد وإياك نستعين.
Pada tahun 1350/1 beliau kembali ke Afrika, dalam perjalanannya melaksanakan ibadah haji. Beliau memasuki pelabuhan utama Kenya, Mombasa. Sewaktu di Mombasa, beliau mendapat tahu mengenai al-Habib Sholih bin ‘Alwi Jamalullail (beliau di kenal dengan nama Habib Swalleh Jamallely oleh masyarakat tempatan) yang menetap di Lamu, Kenya. Beliaulah yang melaksanakan pembacaan Maulid Simtud Durar setiap tahun di Lamu, Kenya. Majlis maulid yang diselengara di di hadiri oleh masyarakat dari Malawi, Afrika Selatan, Mozambique, Pulau Komoro, Uganda, Somalia, Tanzania dan lain-lain (sehingga kini ianya masih diadakan dihadiri oleh ribuan orang).
Mendengar kehadiran al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad, Al-Habib Sholih Jamalulail mengutuskan anaknya ke palabuhan untuk menyambut al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad. Mereka bertemu dan bersama-sama menunaikan sholat dhuhur di Masjid al-Riyadh, Lamu. Sewaktu pertemuan ini al-Habib Sholeh bin ‘Alwi Jamalulail sudah berusia lebihkurang 80 tahun.
Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad menulis surat menceritakan keadaan di Afrika kepada guru beliau, al-Habib ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad di Indonesia. Beliau juga menceritakan pertemuan beliau dengan al-Habib Sholeh Jamalullail. Setelah itu, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad kembali ke Kenya untuk meneruskan usaha dakwah dan menyebar risalah nendanya yang mulia, Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Beliau menetap di Mombasa, Kenya. Dan dari situlah beliau melancarkan dakwahnya ke seluruh pelosok benua Afrika.
Pada tahun 1375H (1955), beliau berhijrah pula ke Kampala, Uganda dan menetap di situ sekitar 13 tahun. Beliau mendapat bantuan dan bimbingan dari al-‘Arifbillah al-Habib Umar bin Ahmad bin Sumaith yang menetap di Zanzibar. Al-Habib Umar bin Ahmad bin Sumaith sering menjunjungi al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad di Kenya. Dan pada tahun 1376H, beliau menziarahi al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad di Kampala.
Habib Ahmad dengan sungguh-sungguh dan gigih memanfaatkan masa dan tenaga beliau untuk berdakwah menyeru umat kepada agama yang diredhai Allah walaupun beliau terpaksa meredah hutan dan merentasi gurun untuk sampai ke perkampungan-perkampungan di Afrika seperti kawasan daerah Aqzam, sebuah kawasan pendalaman yang terpencil di Conggo. Dan hasil dari kegigihan dan kesungguhan beliau berdakwah, sepanjang berada di bumi Afrika, ratusan ribu yang memeluk agama Islam ditangan beliau.
Di samping itu beliau turut mengorbankan harta bendanya untuk agama dengan membangunkan banyak masjid dan madrasah dalam rangka dakwahnya di sana. Untuk memudahkan usaha dakwahnya, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mempelajari bahasa Swahili iaitu bahasa yang digunakan oleh penduduk Timur Afrika.
Di dalam bergaulan hariannya, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad mengunakan bahasa Swahili untuk berkomunikasi. Namun di majlis-majlis umum beliau mengunakan bahasa ‘Arab untuk menyampaikan ceramah. Ini adalah kerana bahasa ‘Arab adalah bahasa al-Quran dan bahasa yang digunakan oleh nenda beliau, Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Hal ini beliau lakukan untuk menegaskan betapa penting dan mulianya bahasa ‘Arab. Pada tahun 1389H, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad kembali dari Uganda ke Kenya, dan kemudiannya menetap di sana. Beliau setiap tahun mengerjakan ibadah haji.
Ulama ahlulbait ini telah menaburkan jasa yang sangat besar di Afrika Timur. Menurut Syeikh Yahya Rhudus, beliau telah mengislamkan lebih dari 300,000 orang selama berdakwah di bumi Afrika Timur. Dan ada yang mengatakan bahwa beliau telah mengislamkan lebih dari 500, 000 orang. Tidak syak lagi ini adalah salah satu karomah yang Allah anugerahkan kepada beliau.
KARANGAN :
Biarpun sibuk dengan berdakwah dan mengajar, al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad juga ada menulis. Diantara kitab-kitab karangan beliau tulis adalah:
Miftahul Jannah (merupakan kitab beliau yang paling masyhur. Telah diterjemahkan oleh murid beliau, Syeikh Musthafa Hasan al-Badawi ke dalam bahasa Ingeris dan ianya tersebar luas di Eropah. Juga ada diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia);
Majmu` Fatawa;
Syarh Nadzam Sa`id bin Nabhan;
Ad-Durratun Nafi`ah;
As-Sabhatuts Tsamina
Al-Maslak al-Faa`ih fi Ahkam ash-Shoid wa adz-Dzabaa`ih
Risalah fi Tadwin as-Sunnah an-Nabawiyyah
Di samping itu, beliau turut meninggalkan beberapa rangkaian ucapan sholawat yang indah dan penuh asrar dan keberkatan. Antara sholawat gubahan al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad adalah satu sholawat yang menyebut penciptaan Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. daripada nur kepunyaan Allah, yang berbunyi:-
MAKSUD :
Wahai Allah, Tuhan sumber cahaya alam semesta Limpahkan sholawat atas Junjungan yang Engkau cipta Dari nur milikMu ciptaan indah tiada tara Dan ampunilah aku serta sinarilah hatiku yang alpa Dengan makrifatMu terang bercahaya Juga dengan makrifatnya akan diriMu yang Maha Mulia Atas keluarga serta sahabat baginda limpahkanlah sama Limpahan sholawat dan salam sejahtera
Juga diceritakan oleh al-Quthub al-Habib Hasan bin ‘Abdullah al-Haddad rahimahUllah bahawa sepanjang tempoh 40 hari sebelum wafatnya Imam al-Haddad rahimahUllah, beliau banyak berzikir dengan dua kalimah tasbih :
” سبحان الله وبحمده , سبحان الله العظيم”
Pasti pilihan Habib Ahmad Masyhur untuk memperbanyakkan hari-hari akhirnya di muka bumi yang fana ini dengan ucapan tersebut punya rahsia yang tertentu. Sesungguhnya, dua lafaz tasbih tersebut merupakan suatu lafaz zikir yang jami` menghimpunkan ganjaran dan balasan yang tidak terkira-kira.
WAFAT :
Pada penghujung hayatnya, Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad sering berulangalik daripada Afrika ke Makkah dan Madinah. Tatkala usia beliau semakin lanjut, beliau memilih untuk menetap di Jeddah bersama ahli keluarga beliau. Pada hari Rabu, 14 Rajab 1416H bersamaan 6 Disember 1995M, di Jeddah dalam usia menghampiri 90 tahun, beliau kembali kerahmatullah. Jenazah beliau disholatkan di Jeddad diimamkan oleh Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani (al-Marhum) dengan kehadiran alHabib ‘Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf.Jenazah beliau yang mulia kemudiannya telah dibawa ke Makkah dan disholatkan sekali lagi di hadapan Ka’bah al-Musyarrafah sebelum dimakamkan di Hauthah Saadah al-‘Alawiyyin di Jannatul Ma’la.
Moga Allah sentiasa mencucuri rahmat dan keredhaanNya ke atas Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad serta para leluhurnya. Allahumma aamiin .. al-Fatihah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar